
Sumber yang enggan dinamakan, berkata mereka hanya dipanggil untuk diambil keterangan.
“Khabar angin bahawa mereka ditahan adalah tidak benar,” kata sumber kepada FMT.
Sumber itu mengulas spekulasi memetik sumber tidak disahkan mendakwa SPRM menahan bekas menteri dan ahli perniagaan tersebut susulan siasatan dakwaan penyelewengan.
FMT pada Jumaat, melaporkan seorang bekas menteri kanan dan seorang tokoh perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ disiasat SPRM berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.
Bekas menteri kanan dan tokoh ahli perniagaan itu antara kira-kira 14 saksi dirakam keterangan SPRM berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan Pandora Papers.
Menurut sumber, siasatan itu dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sumber berkata siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.
“Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.
Awal hari ini, Harian Metro memetik sumber, menyatakan kedua-duanya dipanggil sekali lagi oleh SPRM untuk soal siasat.
Akhbar itu juga melaporkan agensi itu merampas beberapa dokumen berkaitan penjualan saham dalam syarikat tersenarai berkenaan.