
Hajiji juga menafikan dakwaan daripada pembangkang bahawa pentadbirannya cuba menangguhkan pembentangan undang-undang tersebut.
“Dakwaan daripada pembangkang bahawa kami sengaja menangguhkannya tidak benar, kami perlu mematuhi prosedur,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, enakmen itu melibatkan pindaan pada perlembagaan negeri dan oleh itu ia memerlukan kelulusan dari Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga yakin bahawa semua sekutu dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan menyokong langkah itu dan meminta pembangkang juga untuk memberikan sokongan.
“Saya menggesa wakil-wakil pembangkang untuk menyokong rang undang-undang ini, kerana mereka telah memperjuangkan agar undang-undang anti-lompat parti diluluskan di Sabah,” kata Hajiji.
Rang undang-undang pindaan perlembagaan negeri merupakan salah satu daripada empat rang undang-undang yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat DUN dari 22 Mei hingga 25 Mei.
Penganalisis politik dan pembangkang, termasuk Muda Sabah dan Warisan, menuduh kerajaan negeri sengaja menangguhkan kelulusan undang-undang itu untuk mengukuhkan kedudukan mereka sendiri dan memudahkan Adun melompat parti.
Ini berlaku selepas lapan Adun Sabah dari Warisan dan Umno keluar parti pada Mac untuk menyertai GRS.
Setakat ini, tujuh negeri menguatkuasakan undang-undang anti-lompat parti, selepas pindaan pada perlembagaan masing-masing.
Tujuh negeri itu adalah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Sarawak.
Pindaan itu dibuat selepas rang undang-undang anti-lompat parti yang melarang Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2022. Undang-undang itu kemudiannya digazet dan dikuat kuasa pada 5 Okt 2022.