Penggunaan alat timbang neraca mansuh sepenuhnya setahun lagi

Penggunaan alat timbang neraca mansuh sepenuhnya setahun lagi

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata alat itu bakal digantikan dengan penimbang elektronik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub menguji alat timbangan selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan memansuhkan penggunaan alat timbang neraca sepenuhnya dalam tempoh setahun dari sekarang dan akan digantikan dengan alat penimbang elektronik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak penguat kuasa, berhubung keputusan kerajaan berkenaan.

“Pada masa ini, hanya 25% alat timbang elektronik digunakan di seluruh negara, dan KPDN turut merancang untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak, bagi mengatasi isu berkaitan timbang dan sukat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia.

Salahuddin berkata dalam proses melaksanakan penggunaan penimbang baharu itu, kerajaan akan turut memberi perhatian terhadap isu berkaitan kecukupan bekalan dan harga alat tersebut, bagi memberi masa kepada peniaga mendapatkan alat timbang itu.

Beliau berkata KPDN meneliti dan melantik beberapa syarikat untuk membekalkan alat penimbang elektronik berkenaan.

Sempena Hari Metrologi itu, penganjur sambutan tersebut De Metrology Sdn Bhd menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Most Measuring Instruments kerana mencatat 3,197 jumlah verifikasi alat timbang dan sukat iaitu paling banyak dalam tempoh sehari pada 16 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.