KPM peruntuk dana kecemasan baik pulih 36 sekolah dilanda ribut

KPM peruntuk dana kecemasan baik pulih 36 sekolah dilanda ribut

Sekolah berkenaan terjejas susulan kejadian ribut yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor pada Jumaat.

Bumbung di sebuah sekolah Kuala Lumpur yang terjejas teruk dalam kejadian ribut, kelmarin. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera menyalurkan peruntukan kecemasan bagi membaiki 36 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor yang rosak akibat kejadian ribut yang melanda, Jumaat lalu.

KPM dalam kenyataan, memaklumkan peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Menurut KPM kejadian ribut berkenaan mengakibatkan kerosakan 27 buah sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan buah sekolah di Selangor.

Katanya JPWPKL, JPNS, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian beserta anggaran kos kepada KPM. Penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan kadar segera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM berkata JPWPKL, JPNS, dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.