‘Everest tawan kita tahun ini’, Ravichandran sebak insiden timpa pendaki negara

‘Everest tawan kita tahun ini’, Ravichandran sebak insiden timpa pendaki negara

Pendaki solo negara sedih kejadian menimpa Awang Askandar Ampuan Yaacub dan Muhammad Hawari Hashim dalam misi menawan gunung tertinggi dunia itu.

Pendaki solo negara, T Ravichandran, berkata walaupun berbeza pasukan dengan Allahyarham Awang Askandar dan Hawari, namun mereka sering berjumpa di Everest Base Camp (EBC) untuk rehat dan minum bersama. (Gambar Bernama)
SEPANG:
“Selalu kita yang tawan Gunung Everest tetapi tahun ini Everest yang tawan kita,” kata pendaki solo negara, T Ravichandran dalam nada sebak mengimbau pengalaman bersama Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub dan pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang.

Allahyarham Awang Askandar, 56, disahkan meninggal dunia pada Jumaat selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest, manakala Hawari, 33, dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia berketinggian 8,848m.

“Tahun ini adalah kali kedua kami berjumpa dalam misi menawan Gunung Everest. Kali ini saya berada di hadapan mereka dan saya turun dari Gunung Everest menempuhi cabaran getir dalam keadaan cuaca ekstrem,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023.

Menurut Ravichandran, pada 17 Mei dia berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan mengibar Jalur Gemilang dan bendera penaja di atas gunung itu, namun ketika turun dari Gunung Everest pada 18 Mei untuk menawan Gunung Lhotse (gunung keempat tertinggi dunia dengan ketinggian 8,516m) dia terpaksa diselamatkan dan dibawa ke Kathmandu untuk rawatan kerana kecederaan jari akibat radang dingin.

Sebagai rekod, misi Ravichandran, 58, dalam Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 ialah untuk melakar rekod sebagai pendaki pertama Malaysia menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest dalam tempoh 24 jam.

Kejayaan menawan Gunung Everest kali ini merupakan kali yang keempat buat Ravichandran.

Mengenai nasib dua pendaki Malaysia itu, Ravichandran berkata: “Tanpa saya sedar (rupanya) Awang Askandar dan Hawari juga menghadapi masa yang sukar. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka”.

Hawari merupakan pendaki kumpulan pertama ke puncak Everest bersama Awang Askandar yang juga pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah dalam misi Malaysia Everest 2023.

Menurutnya, walaupun berbeza pasukan dengan Allahyarham Awang Askandar dan Hawari, namun mereka sering berjumpa di Everest Base Camp (EBC) untuk rehat dan minum bersama.

“Pendaki biasanya mesra apatah lagi dalam keadaan lima sahaja orang Malaysia, oleh itu kita sangat rapat macam keluarga tidak kira bangsa, agama dan faktor usia. Pada hari menghala ke puncak Everest, Hawari bersama saya dari Khemah 1 ke Khemah 2. Beliau seorang yang baik, walaupun bisu dan pekak namun setiap kali jumpa, kita selalu memulakan dengan pelukan dan ketuk kepala masing-masing,” katanya menitiskan air mata.

Ravichandran mendoakan agar Hawari dapat dijumpai walaupun misi pencarian agak mencabar dengan faktor cuaca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.