Video buli dalam tandas, 9 termasuk pelajar ditahan

Video buli dalam tandas, 9 termasuk pelajar ditahan

Mereka ditahan terdiri daripada lapan pelajar manakala seorang lagi tidak bersekolah susulan video buli dalam tandas tular.

Video kejadian buli dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth tular di media sosial.
GEORGE TOWN:
Polis menahan sembilan remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth baru-baru ini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata mereka ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth semalam terdiri lapan pelajar sekolah dan seorang sudah tidak bersekolah.

“Saya mengesahkan polis menahan sembilan remaja lelaki berhubung dua video membabitkan dua kes pergaduhan dipercayai berbeza di sekolah sama itu, semua mereka ditahan secara berasingan semalam.

“Pegawai penyiasat (kes itu) sedang mengambil rakaman percakapan kesemua tangkapan dan kemungkinan kita akan membenarkan diberi jamin polis pada hari ini memandangkan mereka pelajar serta bawah umur,” katanya.

Katanya kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 147 akta sama kerana merusuh.

Terdahulu tular di media sosial dua insiden pergaduhan berasingan di sekolah yang sama dan rata-rata netizen marah dengan tindakan kumpulan remaja itu.

Antaranya sebuah klip video berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh murid  dipercayai berlaku dalam tandas.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.