
Menterinya Salahuddin Ayub berkata hal ini kerana semenjak ia dilancarkan pada 27 Jan lepas, pelbagai pihak industri seperti pengusaha kedai makanan dan pasar raya masih meneruskan inisiatif itu sehingga kini.
“Pihak industri seperti pengusaha kedai makanan dan pasar raya dan sebagainya kita lihat apabila sudah masuk (sertai) inisiatif Menu Rahmah, mereka tidak keluar setakat ini.
“Saya juga turun padang dan dapati inisiatif ini masih ditunjangi oleh pemain industri dan malah bertambah lagi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Bersama MOG Eyewear di pusat beli belah Johor Bahru City Square.
Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.
Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa inisiatif Menu Rahmah kini semakin dingin dan kurang mendapat sambutan.
Beliau berkata sambutan inisiatif Menu Rahmah dapat dilihat menerusi beberapa penyertaan baharu seperti Foodpanda Malaysia yang meluaskan capaian Menu Rahmah kepada rakyat negara ini.
Secara keseluruhannya, beliau berkata kepelbagaian inisiatif Rahmah juga adalah semakin meluas, antaranya tawaran Menu Rahmah untuk pelajar institusi pengajian tinggi dan terbaharu kerjasama dengan syarikat menjual cermin mata MOG Eyewear.
Terdahulu, Salahuddin berkata MOG Eyewear di bawah pengurusan Metro Optical Group itu, antaranya menawarkan harga pakej Rahmah bagi pembelian cermin mata pada harga RM50 dan RM100.
Selain itu katanya, MOG Eyewear yang mempunyai 96 buah kedai seluruh negara, turut menawarkan pakej naik taraf kanta kepada blue cut lens dengan perlindungan sinaran ultraungu pada harga RM100, dengan pembelian salah satu daripada pakej pembelian cermin mata.