Kerajaan bantu bawa pulang jenazah pengarah APM Kedah, kata menteri

Kerajaan bantu bawa pulang jenazah pengarah APM Kedah, kata menteri

Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Mohd Armizan Ali berkata ini bagi memenuhi hasrat keluarga Allahyarham mahu dikebumikan di kampung halaman.

Mohd Armizan Ali berkata usaha membawa turun jenazah Awang Askandar Ampuan Yaacub di puncak Everest amat mencabar dan mengambil masa tiga hari. (Gambar Bernama)
PAPAR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Mohd Armizan Ali, berkata kerajaan bersedia membantu membawa pulang jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub pulang ke tanah air.

Katanya, ini termasuk usaha pihaknya untuk memenuhi hasrat keluarga Allahyarham yang ingin jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Benoni, Papar.

“Yang paling penting sekarang ini adalah kita bekerjasama rapat dengan anggota keselamatan di Nepal supaya mereka dapat membantu kita bawa jenazah turun ke base camp seterusnya kita membantu membawa jenazah balik ke Malaysia dan terus ke Kampung Benoni untuk proses pengebumian.

“Setakat ini, kita difahamkan bahawa urusan untuk membawa turun jenazah dari puncak Everest mengambil masa lebih kurang tiga hari. Satu operasi menyelamat yang agak mencabar.

“Pihak kedutaan kita di Nepal telah bekerjasama dengan pasukan bertanggungjawab di sana untuk membantu mempermudah proses,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Papar dan DUN Kawang di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat.

Awang Askandar, 56, meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest di Himalaya dan perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed selepas menerima makluman daripada Chef De Mission misi Malaysia Everest 2023, Salleh Mohd Nor.

Armizan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya sebagai amat mendukacitakan yang turut memberi kesan kepada seluruh anggota APM.

“APM merupakan antara agensi di bawah kawal selia saya. Di JPM, kita tahu Allahyarham merupakan seorang individu yang amat komited. Hasrat beliau untuk menakluki Everest sudah sekian lama.

“Tahun lepas pun beliau pergi dan sebelum berangkat, beliau sempat bertemu dengan Ketua Menteri, Hajiji Noor dan tahun ini, sebenarnya sebelum berangkat ke Nepal kumpulan mereka telah bertemu dengan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) di bangunan Parlimen,” katanya.

Katanya, beliau mengenali Allahyarham secara peribadi kerana sebelum ini mereka pernah berkhidmat di Biro Tatanegara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.