Dinding flat tercabut akibat ribut, DBKL ambil tindakan segera

Dinding flat tercabut akibat ribut, DBKL ambil tindakan segera

Ia memaklumkan kawasan dinding itu sudah ditutup dan dipagar bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Keadaan sebuah unit Perumahan Awam Loke Yew yang rosak selepas dinding kayunya tercabut akibat hujan dan ribut petang semalam. (Gambar DBKL)
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan segera untuk melindungi keselamatan penyewa sebuah unit Perumahan Awam Loke Yew, selepas dinding kayunya tercabut akibat hujan dan ribut petang semalam.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan kawasan dinding itu sudah ditutup dan dipagar menggunakan ‘hazard tape’ bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

“Dinding sementara telah dipasang di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” kata kenyataan itu.

DBKL juga memaklumkan, tindakan sama telah diambil terhadap empat unit rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor, di sini, selepas bumbung blok berkenaan tercabut akibat kejadian itu.

“Kerja-kerja pemasangan kanvas sementara telah dilakukan di bumbung unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih bumbung kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Bekalan elektrik di unit terlibat juga telah diputuskan bagi tujuan keselamatan manakala penghuni yang terlibat telah berpindah ke rumah saudara mara di kawasan berhampiran,” katanya.

DBKL turut memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara dibuka buat masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.