
“Pada masa ini, banyak teknologi tiket yang digunakan di sini kuno,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Livescape Group Iqbal Ameer kepada FMT.
“Syarikat tiket tidak nampak sebab untuk menaik taraf sistem kerana tidak cukup (banyak konsert diadakan).”
Peminat kumpulan rock British, Coldplay, di negara ini melepaskan kekecewaan mereka di media sosial berhubung kegiatan ulat tiket untuk konsert kumpulan itu Stadium Nasional Bukit Jalil pada November.
Harga tiket konsert itu antara RM228 hingga RM3,088 tetapi ulat tiket menjual semula tiket paling murah dengan harga lebih RM1,000. Satu tiket dilaporkan dijual pada harga RM43,000.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas penjualan semula tiket secara dalam talian.
Iqbal berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan pihak berkuasa berhubung kegiatan ulat tiket, dan ia berlaku di mana-mana, juga dalam industri lain, termasuk pembelian barangan mewah atau edisi terhad.
Beliau berkata, satu cara dijangka dapat mengatasinya adalah dengan memanfaatkan teknologi, termasuk penggunaan teknologi “blockchain” atau token tidak sepiawai (NFT) untuk pembelian tiket.
“(Tetapi) acara perlu banyak masuk (ke negara ini) agar berbaloi (melabur dalam teknologi),” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna menyertai gesaan agar undang-undang mencegah kegiatan ulat tiket diperkenalkan, serupa dengan Akta Jualan Tiket Dalam Talian Lebih Baik di Amerika Syarikat.
Undang-undang itu bertujuan menghalang orang ramai daripada menggunakan bot untuk membeli tiket secara pukal. Pesalah boleh didenda sehingga USD16,000.
Setiausaha agung persatuan itu, Indrani Thuraisingham berkata, penganjur acara dan platform tiket harus lebih bertanggungjawab dalam menjual tiket, termasuk menetapkan had bilangan tiket yang boleh dibeli oleh seseorang.
Timbalan Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia Beninder Singh berkata, penjualan semula tiket tidak salah kerana ia berdasarkan “persetujuan rela antara pembeli dan penjual”.