SPRM mesti guna akta sendiri untuk reman suspek, putus mahkamah

SPRM mesti guna akta sendiri untuk reman suspek, putus mahkamah

Mahkamah Tinggi turut membatalkan perintah reman terhadap enam anggota polis yang disiasat SPRM kerana rasuah.

Mahkamah Tinggi Temerloh memutuskan SPRM tidak boleh bergantung pada prosedur untuk menahan reman yang terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Temerloh memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh bergantung kepada Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk menahan reman suspek bagi tujuan penyiasatan.

Dalam satu keputusan, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor menyatakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberi kuasa khusus kepada suruhanjaya itu yang perlu digunakan semasa menjalankan penyiasatan.

Dalam menjalankan kuasanya untuk menyemak semula, Roslan membatalkan perintah tahanan reman dikeluarkan terhadap enam anggota polis, termasuk seorang inspektor, bawah Seksyen 117 KPJ atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM5,000.

Roslan berkata, pada 7 Mei sebuah portal bahasa Melayu dalam talian melaporkan anggota polis tersebut ditahan selama enam hari berdasarkan perintah tahanan dikeluarkan oleh pendaftar Mahkamah Temerloh.

Roslan, bekas timbalan pendakwa raya SPRM sebelum dilantik sebagai hakim berkata, beliau merasakan wajib untuk menyemak semula kesahihan perintah tahanan tersebut.

Dalam keputusan penghakiman bertarikh 11 Mei setebal 43 muka surat, Roslan berkata Seksyen 49 memberikan kuasa kepada SPRM untuk membenarkan jaminan ditunda supaya penyiasatan dapat diteruskan selepas 24 jam pertama penahanan.

Dalam penyiasatan jenayah biasa, pihak penguatkuasa undang-undang boleh memohon kepada seorang majistret bawah Seksyen 117 KPJ untuk melanjutkan tempoh reman suspek kepada 14 hari.

Bagaimanapun, Roslan berkata Akta SPRM adalah undang-undang khusus yang memberi kuasa tertentu kepada suruhanjaya dalam situasi di mana penyiasatan tidak dapat selesai dalam tempoh 24 jam.

“Memandangkan penahanan dibuat bawah Seksyen 49, pegawai anti-rasuah perlu mematuhi prosedur yang termaktub dalam peruntukan tersebut dan tidak boleh bergantung kepada undang-undang lain,” katanya.

Beliau berkata, SPRM boleh menghendaki suspek menandatangani bon atau memberikan ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

SPRM hanya boleh menahan dan reman suspek jika mereka gagal hadir seperti diarahkan, tambahnya.

Roslan berkata, majistret tidak sepatutnya bergantung kepada Seksyen 117 KPJ untuk kes disiasat bawah Akta SPRM.

Beliau berkata, ketidakpatuhan SPRM terhadap Akta SPRM adalah satu pelanggaran terhadap Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada seseorang boleh dicabut nyawanya atau dilucut kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang.

Roslan berkata majistret, timbalan pendakwa raya, peguam dan pegawai penyiasat harus memberi jaminan terhadap hak kebebasan suspek.

“Sikap profesional empat entiti ini akan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang menjalankan tugas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.