Penyelaras DUN PH sedia bantu pembangkang salur bantuan rakyat

Penyelaras DUN PH sedia bantu pembangkang salur bantuan rakyat

Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya bersedia mengenepikan perbezaan ideologi politik demi menyelesaikan permohonan sumbangan rakyat Batang Kali.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berharap Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun tidak menolak tawaran tersebut demi kebaikan penduduk Batang Kali. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dari Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun dari Perikatan Nasional (PN) dalam menyalur bantuan kepada penduduk setempat.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pihaknya bersedia mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk menyelesaikan permohonan sumbangan demi kesejahteraan penduduk Batang Kali.

“Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang apa berlaku di peringkat kerajaan persekutuan tetapi menarik perhatian saya adalah tentang kebajikan dan keperluan orang Batang Kali.

“Dengan peruntukan dan tempoh tugas masih berbaki kurang daripada dua bulan ini, saya berhasrat untuk duduk semeja dengan Hasnizan dan melihat semula mana permohonan yang dapat diselesaikan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bantuan berupa sumbangan dan kerja-kerja baik pulih kecil mendesak masih ada peruntukan yang boleh diselaraskan di peringkat pihaknya.

Sambil itu, Saifuddin berharap Hasnizan tidak akan menolak tawaran tersebut demi kebaikan penduduk Batang Kali.

“Untuk rekod, permohonan serupa juga banyak telah dan sedang diteliti di pejabat penyelaras DUN ketika ini. Begitu pun semua sumbangan dan peruntukan ini adalah tertakluk di bawah proses dan tatacara yang telah termaktub,” katanya.

Terdahulu, Hasnizan mendedahkan tidak menerima sebarang peruntukan daripada pusat sejak diamanahkan menjadi wakil rakyat pada PRU15 lalu.

“Selama enam bulan ini jugalah saya dan teman Ahli Parlimen pembangkang tidak terima satu sen pun dana peruntukan dari persekutuan.

“Terlalu ramai berjumpa, menghantar surat untuk memohon sumbangan. Ada di kalangan mereka memang jelas memerlukan bantuan,” katanya.

Tambahnya, beliau hanya mampu membantu berdasarkan kemampuannya sahaja.

“Itu pun kawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.