Laporan SPRM tidak diendah, tindakan segera diambil, kata menteri

Laporan SPRM tidak diendah, tindakan segera diambil, kata menteri

Loke Siew Fook berkata beliau mengarahkan ketua setiausaha kementerian memastikan setiap kes diambil tindakan dan dilapor semula kepada SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook ketika bertemu di Kementerian Pengangkutan pada Selasa. (Gambar Instagram Loke Siew Fook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pengangkutan dalam proses mengambil tindakan segera terhadap laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai salah laku melibatkan kakitangan sebuah agensi di bawah kementerian itu, kata Menterinya Loke Siew Fook.

Loke berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bertemu dengannya pada Selasa untuk memberikan maklumat mengenai kes-kes tatatertib yang belum diselesaikan di peringkat kementerian.

Hasil pertemuan itu, beliau mengarahkan ketua setiausaha kementerian Jana Santhiran Muniayan untuk memastikan setiap kes tatatertib diambil tindakan segera dan dilapor balik kepada SPRM.

Ditanya jumlah kes tatatertib yang belum selesai semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya, Loke berkata ia adalah isu dalaman dan terdapat juga sejumlah kes yang telahpun diselesaikan namun belum dilapor kepada SPRM.

“Yang penting kita ambil tindakan daripada apa sahaja saranan SPRM. Itu komitmen saya kepada Azam bahawa kementerian akan beri kerjasama sepenuhnya. Kes-kes belum diambil tindakan tatatertib akan disusuli dengan kadar segera,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan pendedahan Azam bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka, walaupun SPRM telah mengesyorkan untuk mengambil tindakan, antaranya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.