
Susulan itu, Nik Nazmi berkata pejabatnya membuat laporan polis berhubung fitnah itu dan kebocoran maklumat sulit berkaitan projek yang dianggarkan bernilai RM10.9 bilion seperti tersebar di media sosial.
Menurutnya, laporan dibuat terhadap pengguna Facebook, TikTok dan Telegram yang menuduhnya dan Anwar meluluskan projek berkenaan tanpa melalui proses teratur.
“Ini secara jelas mendorong orang awam yang membaca hantaran tersebut membuat tanggapan bahawa kami menyeleweng dana awam bagi tujuan politik.
“Saya berharap pihak polis dapat mengenal pasti dalang di sebalik tuduhan palsu, fitnah dan kebocoran maklumat sulit kerajaan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi turut menegaskan komitmen kerajaan perpaduan serta kementeriannya terhadap tata kelola baik dan tahap integriti tertinggi.
Semalam, tular salinan surat didakwa ditandatangani Nik Nazmi melampirkan senarai syarikat disyorkannya untuk kelulusan perdana menteri dan menteri kewangan bagi kontrak RTB bernilai RM10.9 bilion.
Hantaran itu turut mendakwa hanya kontraktor ‘menderma’ dana kepada PKR bagi menghadapi PRN yang akan datang sahaja layak dijemput untuk mengambil bahagian dalam projek tersebut.