
James M Dorsey daripada S Rajaratnam School of International Studies berkata, kebimbangan ini diburukkan lagi dengan serangan siber baru-baru ini di Laut China Selatan yang dilaporkan berkait dengan Beijing.
Beliau mengulas laporan oleh The Diplomat baru-baru ini mengenai Malaysia yang dikatakan berdiam diri berhubung dakwaan operasi pancingan data oleh penggodam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kementerian keselamatan negara China.
Insiden pancingan data itu, yang menyasarkan syarikat tenaga luar pesisir di medan gas Kasawari di perairan Sarawak, pertama kali dilaporkan oleh firma keselamatan siber berpangkalan di California, Proofpoint.
“Serangan siber itu mungkin akan mencetuskan perbincangan mengenai tahap kebergantungan kepada China yang mahu Malaysia capai, contohnya dalam infrastruktur dan komunikasi perisikan,” katanya.
Dorsey berkata, beliau percaya Malaysia berdiam diri mengenai perkara itu kerana negara mahu “berwaspada” dalam responsnya kepada rakan dagangan terbesarnya itu.
Pada masa sama, kebergantungan yang tinggi kepada China untuk pelancaran 5G menimbulkan kebimbangan bagi Malaysia, terutamanya berhubung hubungan dengan negara Barat.
Beliau berkata, jika infrastruktur 5G Malaysia berasaskan teknologi China, ia boleh menyebabkan kuasa Barat enggan memberikan akses kepada teknologi keselamatan dan pertahanan kepada Putrajaya.
“Mereka merasakan bahawa infrastruktur 5G Huawei mungkin memberi China akses kepada semua jenis perkara. Jika China mengawal struktur 5G, ia akan mengehadkan keupayaan Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi keselamatan lain, khususnya Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
“Ini adalah pilihan yang perlu dibuat oleh negara-negara kerana 5G penting. Saya rasa rakyat Malaysia perlu melihat dan mengambil kira had-had yang tidak boleh dilanggar,” katanya.
The Financial Times sebelum ini melaporkan bahawa utusan AS dan Kesatuan Eropah ke Malaysia telah menulis kepada Putrajaya selepas ia menyemak keputusan memberikan tender kepada Ericsson untuk membina rangkaian 5G milik kerajaan.
Huawei, pembuat peralatan China yang disenarai hitam oleh Washington, telah banyak melobi untuk mendapat satu lagi peluang memainkan peranan dalam membina rangkaian 5G Malaysia. Huawei dan Nokia Finland tewas kepada Ericsson dalam proses tender terbuka.
Penganalisis keselamatan dan strategi Universiti Malaya Collins Chong berkata, Malaysia tidak lagi boleh meneruskan “diplomasi senyap” dengan China.
“Kita telah menggunakan pendekatan yang sama iaitu diplomasi pintu belakang dan tenang setiap kali integriti wilayah kita dicabar, atau apabila Beijing menunjukkan kekuatannya dan mengancam kepentingan kita di Laut China Selatan.
“Ini pendekatan yang salah. Ia menjadi duluan untuk Beijing terus mewajarkan dan meneruskan tingkah laku menakutkan dan memaksa dalam usaha mencapai objektifnya,” kata Chong kepada FMT.
Beliau berkata, kebergantungan Malaysia kepada China, rakan dagang terbesarnya, menjadikan negara lebih “rentan” dibuli oleh Beijing.