Pensyarah wanita rugi RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

Pensyarah wanita rugi RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

Mangsa berusia 52 tahun diperdaya memberi butiran perbankan, kata laluan serta simpanan wang dalam Tabung Haji dan ASB.

Polis berkata mangsa terpedaya selepas menerima panggilan suspek konon daripada syarikat insurans berkaitan kes tuntutan palsu dan pengubahan wang. (Gambar AFP)
KUANTAN:
Seorang pensyarah wanita mendakwa kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 52 tahun mendakwa dihubungi suspek kononnya daripada syarikat insurans pada 22 Jan lalu, bagi siasatan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram melibatkan mangsa.

“Suspek dikatakan mengarahkan wanita itu membuka dua akaun bank baharu sebagai akaun siasatan sementara dengan butiran perbankan termasuk gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) beserta kata laluan diserahkan kepada suspek.

“Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan ke dua akaun itu yang diturutinya dengan mengeluarkan simpanan bank, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, mangsa mula mengesyaki ditipu apabila gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan sebelum mendapati wang simpanannya di dua bank tersebut dikeluarkan tanpa pengetahuan.

Sehubungan itu, menurutnya wanita tersebut membuat laporan di IPD Kuantan semalam.

Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.

Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.