PBAPP perlu tambah baik cara pengurusan krisis, kata Guan Eng

PBAPP perlu tambah baik cara pengurusan krisis, kata Guan Eng

Bekas ketua menteri Pulau Pinang berkata sebarang gangguan kepada bekalan air di negeri itu mesti dikendalikan secara lebih profesional.

Paras air Sungai Muda yang turun mendadak pada Ahad menyebabkan loji rawatan air utama tidak dapat menghasilkan jumlah air terawat secukupnya. (Gambar PBAPP)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) segera menambah baik pengurusan krisis dan perancangan luar jangka selepas gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu baru-baru ini.

Pada Ahad, PBAPP memberi amaran berhubung gangguan bekalan air minggu ini, yang dikatakan akan menjejaskan ratusan ribu pengguna di Seberang Perai dan Pulau Pinang.

PBAPP berkata, gangguan itu berpunca daripada penurunan paras air di Sungai Muda secara mendadak, mengakibatkan loji rawatan air utama tidak dapat menghasilkan jumlah air terawat yang normal.

Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, berkata gangguan itu membawa “kesengsaraan” kepada ratusan ribu pengguna.

“Ketua pegawai eksekutif dan pasukannya perlu bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan pengguna terhadap keupayaan PBAPP untuk membekalkan air dengan stabil.

“Walaupun gangguan mendadak dalam bekalan air tidak dapat dielakkan, pengurusan krisis yang betul dan perancangan kontingensi profesional untuk mengurangkan kesan buruk mesti dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Lim mendakwa, gangguan bekalan air terbaharu itu disebabkan ketidakupayaan PBAPP untuk mendapatkan dan merawat air dari Sungai Muda di Kedah, yang membekalkan air kepada 80% Pulau Pinang, dengan cekap.

Beliau juga menggesa pembangkang mengelak daripada mempolitikkan isu itu, sambil berkata adalah “dikesali” apabila terdapat beberapa parti politik yang cuba mempolitikkan air dengan menyebelahi Kedah menentang Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.