
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan dokumen itu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari dari hari ini.
Dalam penghakimannya, Wan Farid berkata beliau mengambil maklum terhadap laporan DNA yang tidak dipertikai JPN, mengesahkan pemohon sebagai bapa kandung kanak-kanak itu.
Dalam penghakiman lisan diberikan secara dalam talian, Wan Farid memutuskan kanak-kanak itu memenuhi semua syarat Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama perenggan 1(a) Bahagian II Jadual Pertama yang menjadikannya rakyat “melalui kuat kuasa undang-undang”.
Dalam afidavit menyokong permohonan yang dibuat pada Jun tahun lalu, bapa kanak-kanak berkenaan berkata anak lelakinya itu dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada Julai 2018. Kelahirannya sebulan sebelum pendaftaran perkahwinannya dengan ibu kanak-kanak itu yang juga warga Vietnam.
Bagaimanapun, sijil beranak dikeluarkan JPN mengkelaskan kanak-kanak itu sebagai bukan warganegara.
Pada November 2021, bapa berkenaan memohon kepada JPN supaya sijil beranak anaknya membayangkan kewarganegaraan Malaysia, tetapi tidak menerima sebarang jawapan. JPN kemudian menolak permohonan itu walaupun pemohon menghantar surat tuntutan pada Mac tahun lalu.
Susulan itu, plaintif memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Jun tahun lalu untuk pengisytiharan bahawa kanak-kanak itu adalah rakyat Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.
Bapa berkenaan turut memohon perintah mandamus mengarahkan JPN mengeluarkan semula sijil beranak yang membayangkan status kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia.
Peguam Marcus Lee berkata penghakiman itu satu lagi perkembangan positif dalam undang-undang kewarganegaraan Malaysia.
Kerajaan diwakili Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali.