
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata projek itu dilihat mampu menyelamatkan peruntukan subsidi minyak kerajaan, selain dapat meningkatkan pendapatan melalui cukai jualan dikenakan ke atas kenderaan asing.
Beliau berkata, laporan awal mendapati data jualan bahan petroleum bersubsidi menunjukkan penurunan sebanyak 13.2% bagi diesel, manakala 15.7% bagi RON95 di 38 stesen minyak di Perlis bagi tempoh dua bulan pertama pelaksanaan program.
“Ia membabitkan penjimatan subsidi kerajaan bernilai antara RM5 juta,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) di ibu negara.
Dalam pada itu katanya, dua stesen minyak tanpa subsidi di Perlis yang mengikuti projek rintis mengalami peningkatan jualan sebanyak 14.75% bagi diesel tanpa subsidi, manakala 43.27% bagi RON95 tanpa subsidi.
Katanya, perbezaan harga komersial di Malaysia masih murah berbanding Thailand, dengan harga jualan RM3.05 per liter berbanding RM4.62 per liter bagi Petrol RON95, manakala RM3.00 per liter berbanding RM4.24 per liter bagi diesel.
“Hasil libat urus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) juga mendapati, aliran trafik kenderaan asing adalah tinggi terutama di bahagian utara Semenanjung,” katanya.
Menurutnya, KPDN di peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutama di Kelantan selain beberapa negeri lain akan menyusul iaitu Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor.