KBS, MSN digesa beri tumpuan sukan ‘lubuk emas’

KBS, MSN digesa beri tumpuan sukan ‘lubuk emas’

Persatuan sukan juga perlu memberikan maklumat tepat bagi mengelak sasaran diletakkan dalam mana-mana kejohanan bersifat 'syok sendiri', kata Senator Mohd Hisamudin Yahaya.

Kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran pingat di Sukan SEA Kemboja tidak wajar diletakkan semata-mata atas bahu menteri belia dan sukan dan timbalannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu membuat perancangan terbaik dalam menilai sukan berpotensi menyumbang lebih banyak pingat kepada kontinjen Malaysia dalam temasya disertai.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hisamudin Yahaya, berkata pendekatan perlu diambil termasuk menambah peruntukan kewangan serta menghantar atlet berpotensi menyertai latihan di luar negara, selain merangka program latihan yang lebih baik buat mereka.

“Langkah itu diyakini dapat membantu kontinjen negara dalam soal kutipan pingat,” katanya dalam kenyataan.

“Bagaimanapun, tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’ seperti olahraga dan renang bukan bermakna agensi bertanggungjawab meningkatkan mutu sukan itu perlu meminggirkan sukan lain yang turut berpotensi menyumbang pingat emas buat negara.”

Menurutnya, persatuan sukan di negara ini juga perlu memberikan maklumat tepat kepada KBS, MSN serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mengelakkan sasaran diletakkan dalam mana-mana kejohanan bersifat “syok sendiri” selain gagal direalisasikan atlet.

“Ketiadaan maklumat tepat berisiko menyebabkan sasaran ditetapkan buat kontinjen negara gagal direalisasi seperti mana yang berlaku di Sukan SEA Kemboja 2023 apabila Malaysia membawa pulang 34 pingat emas berbanding 40 emas yang disasarkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kegagalan di Sukan SEA Kemboja juga tidak wajar diletakkan semata-mata di atas bahu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Sebaliknya, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab itu termasuk pemimpin persatuan sukan, tambahnya.

“Sasaran diletakkan persatuan sukan perlu realistik dengan kemampuan atlet masing-masing dan bukan hanya ‘gah’ dengan sasaran namun bergelut untuk menunaikan apa yang ditetapkan apabila memasuki kejohanan, seterusnya menjejaskan imej negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.