
Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Rosli Sulaiman, berkata antara cabaran dihadapi golongan peniaga ketika ini bagi menyokong kerajaan menjayakan sasaran itu ialah harga bahan biodegradasi yang mahal.
“Produk biodegradasi ini mahal dan susah nak dapat, selain itu pelaksanaan ini sepatutnya tidak hanya dilakukan di beberapa lokasi sahaja, contoh di Wilayah Persekutuan sahaja,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memudahkan penjaja dan peniaga kecil memperoleh bahan biodegradasi sebagai alternatif kepada beg plastik, serta mengawal penjualan bahan itu oleh pembekal bagi mencapai sasaran kerajaan.
Pada 2021, penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya menghasilkan 772,349 tan metrik sampah dan daripada jumlah itu sebanyak 101,949 tan atau 13% adalah plastik, namun daripada jumlah sampah plastik itu hanya 152.87 tan metrik atau 16% dikitar semula.
Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLFTEA), Muhammad Azlan Abas, mencadangkan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh, konsisten, dan tegas dalam membasmi kegunaan beg plastik di premis jualan.
“Sebagai contoh kami di industri kenderaan saji ini mengharamkan penggunaan beg plastik di setiap acara. Arahan tegas turut diberikan kepada para peniaga atau penjaja kecil yang menyertai program kenderaan saji kerana kita memang utamakan tiada plastik, tiada kotak polisterin, dan pendidikan ini berlarutan hingga kini.
“Alhamdulillah, di peringkat kenderaan saji majoriti atau 90% telah menggunakan produk atau bungkusan biodegradasi dan kotak nasi polisterin jarang sekali kami gunakan kerana ini adalah konsep,” katanya.
Azlan berkata, penguatkuasaan perlu juga dijalankan di peringkat pembekalan beg plastik kerana adalah tidak adil jika tindakan hanya dikenakan kepada penjaja dan peniaga sedangkan pembekal masih menjual beg plastik.
Pada 9 Mei, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan kerajaan sedang mengorak langkah memperluas “Kempen Tiada Beg Plastik” yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Beliau berkata, kempen tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri merupakan pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.
Antara negeri telah menjalankan kempen berkenaan ialah Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Negeri Sembilan.