
Gamuda, pemegang saham majoriti SRS Consortium Sdn Bhd yang menjalankan kerja penambakan bagi PSI menyelar pengkritik semalam dengan berkata, gesaan untuk mengecilkan projek itu, malah membatalkannya, menggambarkan sikap “tidak endah terhadap integriti proses wajar”.
Gamuda menegaskan bahawa kelulusan EIA telah diperolehi selepas melalui proses yang ketat.
Katanya lagi, lebih 4,000 komen diterima ketika ia didedahkan kepada umum, di mana 93% daripadanya positif.
Projek PSI memperoleh penerimaan penilaian impak sosial sebanyak 79.1% daripada masyarakat tempatan dan sokongan 74.8% daripada nelayan tempatan.
Tiga NGO terbabit, iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Sahabat Alam Malaysia dan Penang Forum, berkata keputusan tinjauan berkenaan dicabar semasa proses maklum balas EIA kerana “berlebih-lebihan, mengelirukan dan tidak berasas”.
Mereka juga berkata, saiz sampel terlalu kecil untuk membuat kesimpulan sedemikian, dan tentangan terhadap projek itu oleh Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang dianggotai 6,000 ahli tidak diendahkan.
Kumpulan itu juga menolak dakwaan Gamuda mengenai proses “ketat” yang dijalankan untuk meluluskan EIA projek. Kata mereka, EIA itu cacat kerana gagal mengambil kira bahawa projek terbabit boleh mengakibatkan kemusnahan tapak perikanan penting yang menjadi sumber bagi lebih 3,000 nelayan, dan bekalan makanan laut untuk pengguna.
Mereka juga menegaskan bahawa bekas ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menasihatkan kerajaan negeri dalam surat bertarikh 25 Jun 2019, bahawa projek penambakan mega akan menyebabkan kerosakan kekal kepada ekosistem marin bahagian selatan Pulau Pinang, dan akan menjejaskan sektor perikanan dan bekalan makanan negara.
Minggu lepas, kerajaan negeri memutuskan untuk mengecilkan projek PSI kepada hanya satu pulau, selepas digesa untuk berbuat demikian oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.