Lelaki berkerusi roda diarah jalani hukuman penjara

Lelaki berkerusi roda diarah jalani hukuman penjara

Taufik Goh Abdullah mengaku salah kerana menyimpan kereta curi ketika sedang dirawat di hospital susulan serangan jantung.

Peguam mewakili Taufik Goh Abdullah, berkata anak guamnya tidak dapat berfikir dengan baik akibat serangan jantung ketika membuat pengakuan bersalah. (Gambar Pexels)
PUTRAJAYA:
Seorang pemilik restoran berkerusi roda yang disabit salah menyimpan kereta curi semasa terlantar di hospital, dihantar ke penjara hari ini selepas rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak.

Taufik Goh Abdullah, 48 tahun, juga tidak mempunyai peguam ketika membuat pengakuan bersalah itu dengan kesalahan disabit oleh majistret.

Lelaki itu pada mulanya pengsan semasa direman di IPD Muar sebelum dibawa ke hospital.

Pada 4 Feb 2020, majistret mengadakan perbicaraan di hospital lokasi Taufik dirawat.

Taufik, yang tidak mempunyai peguam ketika itu, mengaku bersalah menyimpan kereta curi yang ditinggalkan di belakang restorannya di Kluang, Johor, pada 28 Jan 2020.

Dia dijatuhi hukuman enam bulan penjara, yang merupakan hukuman minimum bagi kesalahan tersebut.

Hari ini, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Kamaludin Said, berpendapat hukuman dan sabitan dikenakan majistret adalah selamat.

Dua lagi ahli panel adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim Azimah Omar.

“Hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini,” kata Kamaludin sebelum memerintahkan Taufik dihantar ke penjara.

Dua anggota polis membawa Taufik masuk ke lokap mahkamah, meninggalkan seorang ahli keluarga perempuan yang tidak dikenali menangis di galeri mahkamah.

Taufik sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sejak 2020 walaupun rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi, pada Disember 2021.

Pada 5 Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepadanya untuk merayu sabitan kesalahan dan hukumannya berdasarkan tiga persoalan undang-undang yang diajukan.

Soalan itu melibatkan sama ada pengakuan bersalah tertuduh adalah sah, sama ada terdapat salah keadilan dalam prosiding dan sama ada perintah ikat jamin boleh diberikan sebagai ganti hukuman penjara.

Peguam Taufik, G Visvanathan Nair menyatakan prosiding tersebut sepatutnya tidak dijalankan memandangkan keadaan Taufik yang tidak dapat berfikir dengan baik selepas mengalami serangan jantung.

“Tertuduh tidak memahami hakikat dan akibat kesalahan ketika dia mengaku bersalah,” katanya.

Visvanathan, yang dibantu Devika Suppiah, juga meminta mahkamah mengarahkan perbicaraan semula diadakan atau membenar Taufik dibebas dengan bon berkelakuan baik jika rayuan ditolak.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali, berkata majistret mengikut semua prosedur di bawah Kanun Prosedur Jenayah sebelum menjatuhi hukuman.

“Ukuran hukuman yang diumumkan sepatutnya dipertahankan kerana tiada kekhilafan undang-undang berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.