
Kejadian itu berlaku di dua lokasi, iaitu dekat lampu isyarat di Jalan Besar Sungai Bakap dan lampu isyarat Jalan Sungai Bakap ke Jalan Changkat di Nibong Tebal, Pulau Pinang kelmarin.
Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Lee Chong Chern berkata, pemandu berusia 49 tahun yang memandu Proton X50 itu ditahan polis dengan bantuan dua anggota Rela kerana melanggar lampu merah kira-kira 10.45 malam Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun enggan bekerjasama dan melarikan diri menghala ke Sungai Jawi, sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Changkat tanpa menghentikan kenderaan.
Disebabkan tindakan terburu-buru suspek, katanya, seorang anggota Rela bermotosikal yang cuba menahannya dilanggar, tetapi mangsa berusia 50 tahun itu tidak cedera.
“Suspek berjaya ditahan di Jalan Tengah, Lorong 6 Kampung Jawi, Sungai Bakap dengan bantuan orang awam. Berlaku pergelutan ketika suspek cuba ditahan dan suspek turut cedera di tangan kiri.
“Ketika pasukan peronda polis tiba di lokasi, cermin sisi dan hadapan kenderaan suspek didapati telah dipecahkan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Semasa disoal siasat, katanya, suspek mengaku kenderaan itu miliknya dan dia dalam perjalanan pulang ke rumah ketika kejadian.
Tetapi, katanya, suspek tidak mengaku menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di mahkamah di Jawi dan siasatan lanjut sedang dijalankan.