Hina Sultan Johor di Twitter, penjual ikan didenda RM9,000

Hina Sultan Johor di Twitter, penjual ikan didenda RM9,000

Nor Fadzelli Nor Asmadi juga boleh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pegawai pendakwaan SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin meminta hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi kepada masyarakat secara umum. (File pic)
SEPANG:
Seorang penjual ikan didenda RM9,000 selepas mengaku bersalah memuat naik satu hantaran menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Twitter tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrol Abdullah juga mengarahkan Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, dipenjara tujuh bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Nor Fadzelli dituduh memuat naik hantaran itu di bawah nama profil “fadzelli6”, kira-kira 10 malam pada 23 Nov 2022.

Hantaran tersebut dibaca pada 2 petang pada 25 Nov di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang dibaca bersama Seksyen 233(3) kerana membuat dan memulakan komunikasi menghina sultan dengan niat untuk mengaibkan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya.

Pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas penghakiman.

Pegawai pendakwaan SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin meminta hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada masyarakat umum. Beliau mencadangkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000.

Nor Fadzelli, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukumannya kerana menyesal dengan perbuatannya itu dan tidak akan mengulangi kesalahan dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.