
Walaupun mereka merayu mendapatkan bantuan, situasi dihadapi mereka masih tidak dapat diselesaikan, menjadikan mereka terdesak.
Tidak puas hati dengan keadaan hidup mereka, kira-kira 120 pekerja asing Bangladesh berkumpul di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dalam cuaca yang panas terik semalam untuk mencari penyelesaian.
Jurucakap kumpulan pekerja itu yang ingin dikenali sebagai Abraham berkata, pekerja-pekerja berkenaan tidak diberikan pekerjaan apabila tiba pada Februari lepas mahupun dibayar sebarang elaun dalam tempoh empat bulan.
“Mereka (pekerja Bangladesh) datang ke sini dan tidak diberi penginapan yang sesuai. Malah sesetengah tempat penginapan (yang diberikan) tidak mempunyai (kemudahan) sanitasi. Situasi (dihadapi mereka) sangat buruk.
“Tiada siapa dapat bayangkan persekitaran tempat tinggal mereka, (dengan) tiada pekerjaan, tiada wang, dan tiada makanan untuk melangsungkan hidup,” katanya kepada FMT.
Abraham berkata, sehingga 600 pekerja asing Bangladesh masuk ke negara ini melalui empat syarikat berbeza, percaya mereka akan diupah sebagai pengemas penginapan di Genting Highlands. Bagaimanapun, mereka kini berkurung di sebuah asrama kecil di Nilai, Seremban.
Ada antara pekerja terbabit mendakwa menerima RM200 daripada wakil syarikat, tidak cukup untuk mereka menampung hidup sepanjang empat bulan berada di Malaysia.
“(Pekerja-pekerja itu) kecewa dan tertekan kerana mereka meminjam daripada saudara-mara dan bank, serta menjual tanah untuk datang ke sini,” kata Abraham sambil menambah, pengorbanan mereka seolah-olah sia-sia.
Beliau berkata, pekerja-pekerja juga perlu membayar yuran pengambilan yang terlalu tinggi, iaitu antara RM20,000 hingga RM25,000.
Abraham berkata, pekerja-pekerja menyuarakan keluhan mereka kepada pegawai Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan meminta bantuan untuk mendapatkan penempatan pekerjaan dan pampasan kewangan daripada majikan.
Beliau kemudian berkata, seorang majikan daripada salah satu syarikat itu bertemu dengan seorang pegawai di suruhanjaya tinggi dan bersetuju untuk mengatur pekerjaan bagi pekerja-pekerja itu dan membayar mereka gaji sebulan dalam tempoh 10 hari.
FMT telah cuba mendapatkan komen daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.
Pada April, suruhanjaya tinggi itu berkata, proses kelulusan Putrajaya untuk pengambilan pekerja asing tidak cukup telus, menyebabkan ramai warga asing yang tiba menganggur.
Katanya, Jabatan Buruh bertanggungjawab menjamin hak undang-undang semua pekerja tempatan dan asing.
Reuters melaporkan bahawa Jabatan Buruh telah berjanji untuk mengambil tindakan terhadap agensi pengambilan pekerja dan syarikat yang didapati menyalahgunakan kuota dan lesen kerajaan untuk mengambil pekerja asing, menyebabkan mereka terkandas tanpa pekerjaan.