
Beliau yang juga pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti-Rasuah, berkata pada masa akan datang kerajaan perlu menjelaskan kriteria pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.
Katanya, penjelasan mengenai kriteria itu penting supaya tidak timbul persepsi negatif hingga mencetuskan pertikaian orang ramai dalam pelantikan individu mengetuai agensi anti-rasuah itu.
“Anwar berkata lanjutan kontrak ini kerana prestasi (Azam) yang baik, tetapi adakah keputusan itu baik atau tidak kita kena telan.
“Bagaimanapun, pada masa akan datang kita kena pastikan proses pelantikan ini mesti telus dan diberikan kriteria jelas supaya tak timbul persepsi kurang baik terutamanya terhadap orang nombor satu dalam SPRM,” katanya pada sidang media KRPPM di Kumpulan Karangkraf.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, pula menggesa perdana menteri membuat penjelasan munasabah berhubung keputusan itu kerana ia bertentangan dengan pendirian sebilangan pemimpin kerajaan sewaktu mereka menjadi pembangkang.
“Lanjutan tempoh perlantikan ini jadi isu sebab sebelum ini pihak yang mempersoalkan perlantikan Azam adalah pemimpin pembangkang seperti Rafizi Ramli tetapi bila jadi kerajaan jadi lain. Orang persoal dulu cakap lain sekarang buat lain itu yang rakyat keliru,” katanya.
Rabu lalu, kerajaan mengumumkan kontrak Azam dilanjutkan setahun lagi. Kontraknya sepatutnya tamat pada 12 Mei.
Keputusan itu dikritik banyak pihak termasuk Muda Selangor yang menyatakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan sendiri menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki pada Januari tahun lalu susulan kontroversi Azam memiliki saham berjuta ringgit.
Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim berkata, KRPPM menyasarkan tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan dibentangkan dalam penggal Parlimen kali ini dalam usaha memastikan negara berjaya membendung rasuah.
Katanya, cadangan itu, melibatkan pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, reformasi SPRM, dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009.
Selain Syed Ibrahim dan Mas Ermieyati, sidang media itu turut disertai Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai; Pakar Ekonomi dan Politik, Edmund Terence Gomez; Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Hussamuddin Yaacub.