Kalimah ‘Allah’: Umno akan bangkit isu dalam Jemaah Menteri

Kalimah ‘Allah’: Umno akan bangkit isu dalam Jemaah Menteri

Ketua Penerangan Azalina Othman Said berkata Umno mahu Jemaah Menteri bincang 'penyelesaian menyeluruh'.

Umno mahu isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dikendalikan dengan cermat, kata Ketua Penerangan Azalina Othman Said. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Para menteri Umno akan membangkitkan isu penggunaan kalimah “Allah” dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Ketua Penerangan Azalina Othman Said berkata Umno mahu Jemaah Menteri membincangkan dan mencapai suatu “penyelesaian yang menyeluruh”, termasuk pendekatan perundangan dan bukan perundangan.

“Isu penggunaan kalimah Allah hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama, dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum.

“Dalam hal ini, penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menjelaskan rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah “Allah” tidak diteruskan kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran kementerian 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu berkaitan rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji dan mengemaskini arahan “yang lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah tersebut agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ikut kerangka Perlembagaan

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata isu berhubung penggunaan kalimah “Allah” itu akan diselesaikan mengikut kerangka Perlembagaan.

“Kita sudah mengenal pasti dan perkara itu akan diputuskan melalui sistem perundangan dalam negara kita.

“Esok ada mesyuarat Jemaah Menteri, pastinya isu itu akan kita bincang dan semuanya akan kita selesaikan dalam kerangka Perlembagaan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran program Menu Rahmah dan Pakej Rahmah anjuran Foodpanda Malaysia di Bangsar.

Beliau yang juga menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pentadbiran di bawah kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara yang membabitkan sensitiviti agama dan Islam tetap dipertahankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.