
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kenyataan Zahid pada Khamis lalu sekadar retorik politik yang tidak disokong sebarang tindakannya.
Katanya, Umno masih berdepan kesukaran melakukan agenda reformasi yang didokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan parti itu untuk mendapatkan pengampunan bagi bekas perdana menteri merangkap bekas presidennya, Najib Razak menunjukkan Umno belum menyesuaikan diri dengan nilai reformasi Anwar.
Walaupun seruan Zahid untuk Umno lebih progresif tidak akan diendahkan ahli, tetapi katanya, mereka akan terus menyokong Zahid atas kesetiaan terhadap parti.
“Kenyataannya sekadar retorik politik kerana tidak disokong sebarang pelaksanaan sewajarnya. Ahli akar umbi parti dan rakyat biasa tidak akan terpengaruh dengan kenyataannya,” katanya kepada FMT.
Fauzi berkata, ironik untuk Zahid membuat gesaan seperti itu sedangkan beliau menutup mulut pengkritiknya dalam parti, seperti bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Khairy antara sekumpulan pemimpin Umno yang dipecat atau digantung parti selepas PRU15 pada November lalu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, keputusan mendiamkan pengkritiknya mungkin memberi peluang kepada Zahid untuk membina semula parti itu tanpa sebarang campur tangan dalaman.
“Boleh dikatakan Zahid bermula dengan rekod bersih.”
Dengan perebutan dalaman Umno kini berkurangan, katanya, Zahid berpeluang menunaikan apa yang dikatakannya Khamis lalu.
“Justeru, beliau perlu diberi peluang kerana beliau mempunyai peluang paling luas, sebagai presiden parti dan timbalan perdana menteri, untuk melaksanakan apa yang dikatakannya.”