
Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Rewcastle Brown pada 21 Sept 2021, tanpa kehadirannya.
Dia dituduh memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dalam bukunya, “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa, buku Rewcastle Brown menuduh baginda adalah kenalan rapat Low Taek Jho atau Jho Low, dan membantu lelaki itu memperoleh jawatan penasihat di Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu sebelum ia menjadi 1MDB.
“Kami menerima laporan daripada pesuruhjaya tinggi (di London) yang menyatakan bahawa waran tangkap itu telah gagal,” Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memberitahu Hakim K Muniandy.
Mahkamah mendengar permohonan Rewcastle Brown untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Haslinda berkata, pihak pendakwaan akan memastikan Rewcastle Brown mendapat perbicaraan adil di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Dia juga menafikan dakwaan Rewcastle Brown mengenai campur tangan oleh Istana Terengganu.
Peguam Rewcastle Brown, Guok Ngek Seong, memberitahu mahkamah anak guamnya ingin kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana bimbang beliau tidak akan mendapat perbicaraan adil di Terengganu.
Dia berkata, bekas penolong ketua Istana Terengganu, Azmi Daham, bertindak atas arahan keluarga diraja untuk membuat laporan polis terhadap Rewcastle Brown pada 2018.
“Pengadu dalam kes ini adalah anggota keluarga diraja. Dia (Rewcastle Brown) tidak membantah integriti hakim bawahan tetapi merasakan hakim Mahkamah Tinggi dilindungi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” kata Guok.
Muniandy menetapkan 21 Jun untuk membuat keputusan sama ada membenarkan pemindahan tersebut.