
Timbalan Ketua Menteri III, Shahelmey Yahya, berkata selain usaha pembaikan itu, pihak pengendali loji air Segaliud itu juga menambah dua unit pam, menjadikan tiga unit ketika ini untuk mengepam air sungai berkenaan ke empangan itu.
“Ini bagi memastikan paras (air) empangan meningkat dan dapat dirawat untuk bekalan air bersih di daerah ini. (Paras air) empangan telah pun naik hampir setengah meter dan saya berharap kerja-kerja pengepaman ini dapat diteruskan.
“Ditambah lagi dengan keadaan cuaca (hujan) yang membantu dan semoga dengan kenaikan paras air di empangan Segaliud ini nanti akan dapat mencairkan klorida yang menimbulkan rasa masin kepada air kita hasilkan,” katanya selepas meninjau empangan itu.
Shahelmey, yang juga menteri kerja raya Sabah, berkata sejak kunci sungai dan pintu kawalan air sungai itu dibaiki, bacaan makmal juga menunjukkan kadar kemasinan air semakin menurun.
Namun, katanya, ia belum mencapai bacaan di bawah 250 bahagian per juta (parts per million) dan dengan kerja pengepaman berterusan itu dijangka dapat mengatasi isu air masin di Sandakan.
Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya sudah menerima cadangan jangka panjang daripada Jabatan Air Negeri Sabah supaya kejadian yang menyebabkan bekalan air masin di Sandakan tidak berulang.
“Saya tidak menyalahkan nelayan (merosakkan kunci dan pintu kawalan air sungai), tetapi isu yang kita hadapi sekarang sebenarnya disumbangkan oleh pelbagai faktor. Tiada guna mengasingkan atau menuding jari terhadap mereka menyumbang kepada isu dan masalah ini.
“Apa kita fahami ialah kita memahamkan masalah dihadapi dan kita cari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
“Jadi, kita gunakan (simpanan air) pada Mei hingga awal Jun, lebihan ini akan dapat berterusan dan itu akan jadi satu penampan untuk simpan air bagi ketibaan fenomena El Nino.”