PH Kelantan tak pernah bincang guna lambang dacing pada PRN

PH Kelantan tak pernah bincang guna lambang dacing pada PRN

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain berkata, cadangan menggunakan lambang dacing hanya pandangan individu.

Muhammad Husain berkata, cadangan penggunaan lambang dacing pada PRN akan datang tidak dibincangkan dengan BN Kelantan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Kelantan tidak pernah membincangkan cadangan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang.

Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain berkata, isu itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat dengan BN negeri.

Katanya, cadangan menggunakan lambang dacing di Kelantan hanya pandangan individu.

“Kita serah kepada pusat untuk tentukan jika PH perlu guna logo BN di Kelantan,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan BN dan PH dalam proses rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri.

Sebelum ini, Ketua Amanah Ketereh, Che Ibrahim Mohamed mencadangkan kerjasama PH dan BN pada PRN disepadukan dengan penggunaan lambang dacing.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula berkata, BN sedia mempertimbangkan penggunaan lambang dacing oleh rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan bagi PRN di enam negeri.

Tak bincang Nik Abduh jadi calon PH

Mengenai khabar angin bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan menjadi calon PH atau BN pada PRN, Muhammad yang juga ketua Amanah negeri berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

Katanya, poster mendakwa anak bekas menteri besar itu diangkat sebagai menteri besar kerajaan perpaduan Kelantan juga tidak berbangkit.

Sabtu lalu, tular poster Nik Abduh sebagai calon menteri besar Kelantan mewakili kerajaan perpaduan menjelang PRN susulan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Nik Abduh dilaporkan berkata, pertemuan itu hanya perjumpaan biasa yang dirancang sejak Ramadan, tetapi tidak sempat kerana jadual padat perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.