
Berita Harian melaporkan Adnan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar sejak minggu lalu akibat jangkitan kuman pada paru-parunya, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 6 pagi tadi. Solat Jenazah akan diadakan selepas Zohor di Surau Kampung Padang, Batu 2 Tandop di Alor Setar.
Adnan yang mewakili negara dari 1980 hingga 1986, terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri dan kerap digandingkan dengan Shukri Ismail (apit kanan atau pengumpan) bersama Azman Ismail (tekong).
Mereka pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada edisi 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Anak jati Alor Setar itu pernah bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Libasan Adnan bukan saja membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983, tetapi turut menggerunkan musuh tradisi, Thailand.