
Katanya, Bukit Aman akan mengambil tindakan segera tanpa memberi amaran kepada ketua polis daerah lagi, tetapi beliau tidak menjelaskan jenis tindakan yang akan dikenakan.
“Aku janji ditandatangani ketua polis daerah setiap bulan, ia bukan perkara baharu. Saya hanya mahu memastikan ada pelaksanaan (operasi), bukan setakat aku janji. Janganlah aku janji itu dianggap sebagai kertas tisu tiada nilai.”
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Abu Samah Noor dan Shuhaily Zain sebagai ketua polis Kuala Lumpur di Bukit Aman.
Ayob berkata, jika IPD tidak mengambil tindakan tegas terhadap pusat judi haram, Bukit Aman akan “melakukannya untuk mereka”.
“Jika saya terima sebarang maklumat (aktiviti seperti ini), pasukan petugas saya akan turun dan mengambil tindakan perlu,” katanya sambil menambah beliau sendiri akan melakukan pemeriksaan mengejut di peringkat daerah.
Terdahulu, Ayob dalam ucapannya berkata, beliau menerima maklumat ada segelintir ketua polis daerah yang tidak berpuas hati kerana Pasukan Petugas Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari JSJ Bukit Aman dihantar untuk mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.
Ayob, yang dilantik pengarah JSJ bulan lalu, turut meminta orang ramai memberi masa kepadanya untuk membanteras aktiviti perjudian haram.
“Bukan saya masuk JSJ (sebagai pengarah JSJ) hari ini, esok perangi kegiatan perjudian telah habis. Ia perlu ada koordinasi mantap bersama pihak berkuasa tempatan dan Tenaga Nasional Berhad.”