
Pengerusi BN, Zahid Hamidi, berkata 30 Ahli Parlimen gabungan itu diketuainya mahu melihat kerajaan pimpinan Anwar terus maju ke hadapan kerana ia selaras harapan rakyat.
“Saya yakin jika kita sederap membantu Anwar, saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, kerajaan Madani pasti melepasi PRU16.
“Jangan menoleh ke belakang, di sana ada orang tidak suka dengan kita, ada orang kritik kita pedulikan soal itu, rakyat mahu kerajaan perpaduan ini maju ke hadapan demi rakyat. Umno dan BN meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Zahid memberi jaminan itu di tengah-tengah spekulasi konon akan berlaku pertukaran sekali lagi tampuk pemerintahan negara.
Beliau yang juga presiden Umno berkata, walaupun Umno dan BN hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen ia merupakan pelengkap pembentukan kerajaan.
“Yang kami fikir bukan kepentingan, tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar dengan pihak di sana atau sini, tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Datuk Seri (Anwar) dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya.
Zahid berkata, pembentukan kerajaan perpaduan juga satu gerakan politik baharu dan tiada lagi fobia tentang warna bendera.
“Itu dulu sekarang realitinya kita bentuk politik baharu politik kerajaan Madani. Dulu ada yang memandang warna merah dan biru sangat fobia. Saya ucapkan tahniah kepada sekretariat tiada warna berbeza hanya warna putih,” katanya merujuk kepada kejayaan menghimpunkan 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan menerusi konvensyen itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, senada dengan Zahid, menyatakan jika kestabilan dalam kerajaan perpaduan dapat diperkukuh ia akan kekal sehingga PRU16.
Mengulas peluang PH-BN menang PRN di enam negeri, Loke berkata pemimpin kerajaan perpaduan perlu memberi mesej jelas supaya akar umbi dapat menterjemahkan ia dalam bentuk kemenangan.