
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata kerajaan menerusi sebuah jawatankuasa khas, bekerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk polis dan penyedia platform media sosial sejak Disember untuk menangani kenyataan tidak bertanggungjawab.
“Kita faham nak dekat PRN lagi banyak berita palsu yang akan tersebar. Sehubungan itu, SKMM dan polis akan bekerja secara rapat untuk memantau ucapan kebencian dalam media sosial bagi memastikan tindakan boleh diambil,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sehubungan itu, Teo berharap pengguna media sosial bertindak bijak dengan membuat semakan fakta maklumat sebelum mempercayai dan berkongsi maklumat diterima, menerusi platform semakan fakta www.sebenarnya.my dan www.mycheck.my.
Dalam pada itu, Teo berkata, KKD akan memastikan tugas semua pengamal media pada PRN akan datang berjalan lancar dan mudah menerusi pusat media yang akan diwujudkan Jabatan Penerangan kelak.
“Jabatan Penerangan akan pastikan di enam negeri ini ada pusat media didirikan untuk anggota media manakala jika ada pengamal media dari luar negara, mereka boleh memohon pas media rasmi daripada Jabatan Penerangan,” katanya.