‘Sebuah pulau pun kami tak mahu’, nelayan gesa kerajaan batal PSI

‘Sebuah pulau pun kami tak mahu’, nelayan gesa kerajaan batal PSI

Kumpulan nelayan mendakwa projek penambakan walaupun melibatkan satu pulau sahaja akan menjejaskan kegiatan mereka.

Ratusan nelayan mengambil bahagian membantah Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSI), berdekatan Jeti Sungai Batu, di Bayan Lepas.
BAYAN LEPAS:
Putrajaya perlu membatalkan Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSI) sepenuhnya, kata kumpulan nelayan susulan pengumuman projek itu dikecilkan kepada satu pulau sahaja berbanding tiga sebelum ini.

Dalam protes di sini, kumpulan nelayan itu berkata, mereka tidak mahu “walau sebuah pulau pun” dibina, sambil menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendengar rintihan dikemukakan.

Pada Khamis, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata projek berkenaan akan dikurangkan kepada 2,300 ekar melibatkan sebuah pulau, terletak di selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, berbanding pelan asal tiga pulau berkeluasan 4,500 ekar, selepas Anwar menyeru kerajaan negeri berbuat demikian.

Chow berkata, pengurangan itu menjadikan hanya 115 nelayan daripada Permatang Tepi Laut terjejas kesan penambakan pulau, berbanding 496 nelayan menerima kesan sekiranya tiga pulau dibina menerusi projek penambakan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Ibrahim Che Rose, berkata Anwar pada 2019 sudah berjanji akan berjuang demi nelayan.

Katanya, jika tuntutan nelayan mahu pembatalan projek itu tidak dilayan, mereka akan mengadakan himpunan di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, termasuk menghantar memorandum kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

“Kami (nelayan) dan rakyat berharap perdana menteri mendengar rintihan kami.

“Nelayan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Jangan abaikan nelayan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar, juga senada dengan gesaan Ibrahim bagi membatalkan projek terbabit.

Katanya, satu sahaja projek pulau akan mengambil alih kawasan 40% kawasan teluk di bahagian selatan, yang mana menjejaskan kegiatan nelayan.

Awal hari ini, ratusan nelayan bersama penyokong lain terdiri daripada kumpulan masyarakat serta NGO mengadakan bantahan menentang PSI, berhampiran Jeti Sungai Batu, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.