
Katanya, jumlah itu berpandukan kepada Pelan Induk (2021-2030) yang disediakan AKSB dalam kerangka penyelesaian masalah bekalan asas berkenaan.
“Jumlah itu merangkumi program pengurusan air tidak terhasil (NRW) berjumlah RM1.7 bilion, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (TAPS) RM2.1 bilion, pembinaan loji rawatan air (LRA) mini RM120 juta, pembinaan LRA baharu (RM740 juta), naik taraf LRA sedia ada (RM300 juta) dan pengurusan aset (RM70 juta),” katanya menurut Sinar Harian.
Nazmi berkata, jika kerja naik taraf LRA sedia ada berjalan lancar, ia mampu meningkatkan kapasiti air dari 153 hingga 330 juta liter sehari (JLH) melibatkan 12 LRA sedia ada ketika ini.
Beliau berkata, pembinaan LRA baharu dilihat bakal menjadi antara penyelesaian kepada masalah bekalan air di Kelantan.
“LRA mini melibatkan 16 lokasi dengan pengeluaran sebanyak 55 JLH, LRA baharu di 11 lokasi (251 JLH) dan lima LRA sudah beroperasi sejak 2021 melibatkan pengeluaran 61 JLH,” katanya.
Katanya, ketika ini sungai menjadi sumber bekalan air mentah di Kelantan apabila menyumbang sebanyak 47%, diikuti tapisan air sungai (29%), dan air tanah (24%).
Dalam pada itu, Nazmi berkata, masalah bekalan air terawat yang berlaku di negeri itu ketika ini berpunca daripada beberapa faktor iaitu kuantiti tidak cukup, tekanan rendah dan agihan tidak cekap.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, AKSB dalam proses menggantikan paip lama melibatkan jarak sejauh 4,006km seluruh negeri.
Ia melibatkan Kota Bharu Utara sepanjang 193.3km, Kota Bharu Selatan (420.5km), Kota Bharu Timur (482.2km), Machang (328.1km), dan Pasir Puteh (420.8km),
Selain itu, Gua Musang (187.9km), Tanah Merah (365.3km), Tumpat (333km), Pasir Mas (672.3km), Bachok (220.9km), Jeli (163.9km), dan Kuala Krai (217.8km).