‘Move on’, Wee ajak semua pemimpin politik bina negara

‘Move on’, Wee ajak semua pemimpin politik bina negara

Presiden MCA berkata politik kini mengenai variasi idea dan fikiran tidak seperti era lalu menjurus politik identiti.

Presiden MCA Wee Ka Siong menyeru semua pihak tidak mencemari keunikan kepelbagaian kaum dalam negara dengan politik ekstremisme.
KUALA LUMPUR:
Presiden MCA Wee Ka Siong menyeru semua pemimpin politik “move on” bagi memberi fokus kepada rakyat memandangkan PRU15 sudah berlalu.

Beliau juga mengulangi seruan Agong agar semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti kembali merapatkan saf demi masa depan negara.

“PRU15 sudah pun berakhir dan pertempuran politik juga sudah pun berlalu. Apa yang penting, ialah ‘move on’ (bergerak ke hadapan), bagaimana kita mahu membina negara pasca PRU15.

“Kini, politik sekarang adalah mengenai variasi idea dan fikiran. Perspektif kini bukan seperti era 90-an dan tidak lagi dilihat pada ‘identity politics’ semata-mata.

“Hentikan secara total politiking yang merugikan rakyat dan negara. MCA sentiasa mendokong falsafah parti iaitu kebebasan, demokrasi, dan keadilan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Wee turut menyeru semua pihak tidak mencemari keunikan kepelbagaian kaum dalam negara dengan politik ekstremisme.

“Perpaduan dalam kepelbagaian ini perlu kita pertahankan walau apa jua cabaran dan rintangan mendatang kerana inilah kekuatan kita sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.