Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini

Seawal 10 pagi, konvensyen nasional yang diadakan buat julung kali itu membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri, yang diadakan serentak.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, akan menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan petang ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR; Tumpuan hari ini terarah ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa depan.

Seawal 10 pagi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali itu membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri, yang diadakan serentak.

Konvensyen Wanita akan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

Sementara itu, satu jentera baharu iaitu “Geng Perpaduan”, melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan kerajaan ini akan dilancarkan sempena konvensyen itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi PRN di enam negeri.

Jentera itu merupakan platform baharu buat pemuda dalam parti gabungan kerajaan perpaduan yang dianggotai sayap Pemuda Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Konvensyen Nasional meneruskan agendanya pada 2 petang dengan “Bicara Rakyat” oleh pemimpin-pemimpin parti kerajaan perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi, iaitu “Memperkasa Ekonomi Rakyat”, “Membina Negara Bangsa” dan “Malaysia Madani”.

Kemuncak konvensyen bertemakan “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia” itu bermula pada 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, konvensyen itu diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan, selain bertujuan menentukan pemikiran dan dasar yang sama antara parti.

Penganalisis politik Ahmad Martadha Mohamed berkata, konvensyen itu amat penting dalam memberikan optik positif mengenai kestabilan politik negara, sekali gus pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, konvensyen berkenaan bukan sahaja akan mendapat perhatian pemerhati politik tempatan dan antarabangsa, malah mampu membina keyakinan pelabur asing terhadap prestasi kerajaan perpaduan bawah kepimpinan Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.