
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, dengan adanya parti yang dominan, majoriti keputusan akan mencerminkan kepentingan mereka, manakala pandangan daripada parti lain yang membentuk gabungan perpaduan itu akan diketepikan.
Chin memetik Umno, tonggak utama Barisan Nasional (BN), sebagai contoh.
Beliau berkata, Malaysia mengalami “pengalaman yang kurang menyenangkan” sepanjang 61 tahun BN memerintah.
“BN hanya gabungan pada nama. Umno sebenarnya yang menerajui kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Mereka hanya menggunakan BN untuk menunjukkan mereka berbilang kaum sedangkan mereka sebenarnya tidak pernah ambil peduli tentang apa yang BN (sebagai gabungan) mahukan.”
Tambahnya, kerajaan tanpa parti dominan bermakna pandangan parti komponen akan dipertimbangkan, yang penting dalam konteks agama dan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa kerajaan tidak sepatutnya membenarkan mana-mana parti menjadi dominan.
Shafie berkata, apabila Umno menjadi parti dominan dalam BN, harga itu terpaksa dibayar oleh rakan dalam BN seperti MCA, MIC dan Gerakan, yang merupakan parti yang berpengaruh tetapi digugat oleh Umno.
Kerajaan perpaduan hari ini terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN selain dua kerajaan negeri yang mentadbir Sabah dan Sarawak iaitu Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata dinamik dalam kerajaan perpaduan berbeza dengan kerajaan BN-Umno.
“Entiti berbeza dan komponen-komponen itu bersatu. Jadi, ia tidak boleh mengikut konsep itu atau cara BN mengendalikan dinamik dalam gabungan mereka,” katanya.
Katanya, Anwar dan PH perlu memahami dinamik dalam kerajaan perpaduannya terlebih dahulu dan mendengar pandangan parti lain dalam gabungan itu.
Beliau berkata ia tidak sepatutnya terlalu mendominasi, PKR misalnya menentukan terma dalam PH dan rakan PH yang lain hanya mengikut sahaja.
“Perlu ada keseimbangan kerana ia (gabungan kerajaan perpaduan) sangat rapuh dan sensitif.”