
Pengerusi PH negeri itu berkata, kerusi berkenaan merupakan kawasan majoriti Melayu yang mana perbincangan berlangsung antara PH dengan parti tonggak BN, Umno.
“Kami hampir selesai (menyelesaikan agihan kerusi) dan akan berunding ke peringkat seterusnya untuk muktamad,” katanya kepada pemberita.
“Ada dua ke tiga kerusi (sedang dirunding) dengan BN. Ini kerusi majoriti Melayu. Keutamaan kita menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.”
Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, PH akan bertanding di semua kerusi dimenanginya pada pilihan raya lalu memandangkan tiada penyandang mahu melepaskan kerusi masing-masing.
Katanya, rundingan antara PH dan BN tertumpu di 15 kerusi majoriti Melayu di negeri itu.
Di Dewan Undangan Negeri, PH menguasai 33 daripada 40 kerusi, melalui DAP (19), PKR (12), dan Amanah (2). BN mempunyai dua kerusi menerusi Umno.
PAS yang menjadi komponen Perikatan Nasional menjadi satu-satunya wakil pembangkang dalam DUN. Empat kerusi diisytiharkan kosong.
Enam negeri – dikuasai PH di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, termasuk Kelantan, Terengganu, dan Kedah dikuasai PAS – akan mengadakan PRN selepas Julai.