Pengasas, warden tahfiz direman 4 hari bantu siasatan amang seksual murid

Pengasas, warden tahfiz direman 4 hari bantu siasatan amang seksual murid

Perintah reman sehingga 16 Mei terhadap pengasas pusat tahfiz berusia 40 tahun dan warden berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh pagi ini.

Dilaporkan semalam bahawa dua beradik warga Singapura ditahan susulan laporan polis yang diterima berhubung penderaan dan amang seksual fizikal terhadap enam murid tahfiz berusia antara 13 hingga 15 tahun.
PETALING JAYA:
Seorang pengasas dan seorang warden sebuah pusat tahfiz direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan dan amang seksual fizikal murid tahfiz di Melaka.

Perintah reman sehingga 16 Mei terhadap kedua-dua suspek, masing-masing berusia 40 dan 36 tahun, dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin, lapor Buletin TV3.

Siasatan dilakukan polis mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dilaporkan semalam bahawa dua beradik warga Singapura ditahan susulan enam laporan polis yang diterima berhubung penderaan dan amang seksual fizikal terhadap enam murid tahfiz berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Menurut Ketua Polis Melaka Zainol Samah, kejadian dilaporkan berlaku beberapa kali di dua pusat tahfiz, iaitu di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah, serta di kondominium di Klebang.

Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengingati tarikh tepat kejadian berlaku, namun kali terakhir dikatakan berlaku pada 7 Mei.

Zainol berkata, suspek pertama pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal serta liwat pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.