
Beliau berkata, setiap organisasi sudah pastinya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing yang akan dikenakan terhadap individu terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu, termasuk menamatkan perkhidmatan mereka.
“Jika didapati pelanggaran perkhidmatan itu jelas oleh mereka yang terlibat, maka pihak perkhidmatan tentera akan mengambil sebarang tindakan dan apa jua tindakan adalah selaras dengan tahap kesalahan yang dilakukan.
“Ada sampai ke tahap boleh dibuang kerja jika kes dilakukan itu benar-benar melanggar SOP perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Taman Tuanku Ja’afar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan berlakunya kes pukul melibatkan pelatih tentera darat di kem tentera di sini seperti yang tersebar menerusi media sosial semalam.
Ketua Polis Port Dickson Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan dilaporkan berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira 8.23 malam, 22 April lepas. Siasatan kemudian mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah kem latihan tentera di Port Dickson kira-kira 10 pagi, 17 April lepas.
Mohamad berkata, setakat ini beliau belum mempunyai butiran lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak tentera serta polis untuk melakukan siasatan terperinci.