Kompleks Sukan Shah Alam: 10 tapak dikenal pasti untuk proses tukar tanah

Kompleks Sukan Shah Alam: 10 tapak dikenal pasti untuk proses tukar tanah

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata proses pertukaran tanah dibuat berdasarkan tahap kemajuan projek itu.

Kerajaan Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan kemudahan sukan sekitarnya, dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta. (Gambar fail)
SABAK BERNAM:
Kerajaan Selangor mengenal pasti 10 tapak tanah untuk proses pertukaran tanah bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka bermula proses pembinaannya tahun ini.

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata lokasi tanah berkenaan antaranya berada di Hulu Selangor dan Pelabuhan Klang dengan proses pertukaran tanah akan dilakukan berdasarkan tahap kemajuan projek terbabit.

“Insya-Allah, kita tidak akan ganti sekali gus namun kita akan tengok mengikut kemajuan. Kalau kemajuan sampai angka tertentu, kita serahkan tanah. Kita dah tawarkan (kepada pemaju) dan sedang muktamadkan sikit sahaja lagi,” katanya selepas merasmikan Pusat Smart Desa di Kampung Air Tawar.

Ditanya mengenai jadual projek pembinaan, Amirudin berkata, projek tersebut sedikit tersasar daripada jadual asal dan pihaknya menjangkakan pembangunan itu akan bermula pada tahun ini.

“Diharapkan sebelum PRN tetapi nanti orang cakap projek PRN pula. Saya bukan tentukan PRN sebagai perimeter tetapi berdasarkan proses. Kita tidak mahu proses itu dilanggar atau dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Pada 15 Julai tahun lalu, kerajaan Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan kemudahan sukan sekitarnya, dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.

Terdahulu, beliau berkata, Pusat Smart Desa yang dibangunkan di dua lokasi iaitu di Kampung Sungai Air Tawar di sini dan Kampung Endah, Kuala Langat bakal menjadi projek rintis kepada pembangunan penduduk luar bandar terutamanya untuk pelajar sekolah.

“Pusat itu boleh digunakan untuk menganjurkan kelas tambahan selain menjadi pusat internet. Setiap projek menelan belanja sebanyak RM200,000 yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan namun dikelola kerajaan Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.