
Kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah bahawa pembangunan kasino itu ialah “idea yang bagus” juga tidak diterima dengan baik oleh sesetengah kumpulan Islam.
Bagaimanapun, idea ini disokong oleh ahli perniagaan, termasuk pengusaha hotel.
FMT melihat dengan lebih dekat kontroversi yang menyelubungi kasino yang dicadangkan itu.
Cadangan pembangunan kasino
Kasino yang dicadangkan itu akan menjadi sebahagian daripada pembangunan semula Borneo Highlands Resort di Siburan, yang mana pembangunan taman tema dan padang golf di resort itu juga telah dicadangkan.
Jika dibina, kasino itu akan menjadi yang pertama di Borneo, dan yang kedua di Malaysia selepas Genting Highlands di Pahang. Pada masa ini, tiada kasino di Kalimantan, mahupun di Brunei.
Mengapa ada yang menentang?
Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, kasino akan membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan kerana ia akan membawa kepada ketagihan judi, manakala Persatuan Melayu Miri berkata, kasino akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam di negeri itu.
Mengapa ada yang menyokong?
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata, sebuah kasino di Sarawak akan menggiatkan pelancongan dan mewujudkan banyak pekerjaan jika ia mengikut “formula Genting Highlands”.
Katanya, Genting Highlands dibangunkan sebagai kasino dan resort pada 1965 tetapi sejak itu berkembang menjadi tarikan pelancongan dengan pusat membeli-belah, taman tema, kereta kabel, restoran dan juga perbandaran seluas 81 hektar di Gohtong Jaya.
“Destinasi pelancongan di seluruh dunia menggunakan kasino sebagai alat pemasaran untuk meningkatkan aktiviti pelancongan. Contoh yang bagus termasuk Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam dan Singapura,” kata Tan kepada FMT.
“Kesan bergandanya sangat besar untuk hotel, makanan dan minuman, pengangkutan, penerbangan dan lawatan pelancongan.
“Lihat sahaja di Genting. Contoh kejayaan yang bagus, menggaji kakitangan tempatan untuk banyak perkhidmatan sampingan dan tarikan pelancongannya,” katanya.
Sementara itu, laporan Borneo Post memetik Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Sarawak John Teo sebagai berkata sebuah kasino boleh mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 pekerjaan dan menarik pelancong mewah.
Karim teguh dengan pendirian
Mempertahankan idea berkenaan, Karim berkata, tidak ada salahnya menubuhkan kasino di Sarawak kerana negeri itu milik semua rakyatnya, yang menganut agama berbeza.
Beliau juga mempersoalkan mengapa mereka yang menentang kasino atas alasan agama tidak berkata apa-apa tentang kewujudan kedai nombor ekor 4D di negeri itu.
Bentuk hasil lain
Pakar ekonomi Madeline Berma daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, beliau percaya ada cara yang lebih baik untuk negeri ini meningkatkan hasil pelancongan.
“Sarawak negeri yang begitu besar, kita mempunyai begitu banyak tanah. Pembangunan kasino mungkin masuk akal untuk Singapura, Macau dan Hong Kong kerana negara-negara itu kekurangan tanah untuk dibangunkan.
“Bagaimanapun dengan sumber tanah yang besar di Sarawak, saya lebih suka aktiviti ekonomi lain,” katanya sambil menambah, ini termasuk pembangunan hartanah dan perkilangan.
“Tiada salahnya untuk meneruskannya, tetapi (hanya satu kasino) tidak boleh mencipta banyak peluang pekerjaan. Orang Islam tidak boleh bekerja di sana. Berbeza dengan jika kita membuka kilang atau sesuatu yang berkaitan dengan pelancongan (yang boleh melibatkan lebih ramai orang).
Bagaimanapun, Madeline mengakui bahawa resort seperti Genting Highlands boleh membawa beberapa manfaat buat ekonomi.