Jangan salah guna visa umrah, pelancong untuk tunai haji, pesan Motac

Jangan salah guna visa umrah, pelancong untuk tunai haji, pesan Motac

Motac memberikan peringatan agar tiada jemaah umrah Malaysia mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa di Arab Saudi sehingga masuk musim haji.

Menunaikan ibadah haji tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut peraturan kerajaan Arab Saudi, kata Motac. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengingatkan umat Islam, terutama bakal jemaah umrah, di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan peringatan tersebut diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk musim haji, yang dijangka bermula pada minggu ketiga Jun ini.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan, Motac turut ingin mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula selain akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Motac memandang serius berhubung perkara tersebut (salah guna) kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan perkara itu satu kesalahan mengikut peraturan kerajaan Arab Saudi, iaitu menunaikan ibadah haji tanpa permit yang sah.

Kerajaan negara itu, katanya, hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut kementerian itu lagi, tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian.

Motac turut menyeru rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.