Penunggang, pembonceng paling ramai maut sepanjang Ops Selamat

Penunggang, pembonceng paling ramai maut sepanjang Ops Selamat

Sebanyak 94 kematian direkodkan melibatkan penunggang, pembonceng motosikal sepanjang Ops Selamat Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata 12,407 kes kemalangan jalan raya direkodkan meningkat 0.1% berbanding 12,396 tempoh sama tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Penunggang dan pembonceng motosikal menjadi penyumbang utama apabila merekodkan 94 kematian dalam kemalangan jalan raya sepanjang Ops Selamat 20/2023 sempena Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April lalu.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan kematian berbanding 85 kematian direkodkan ketika kempen Op Selamat 18/2022 tahun lalu.

Katanya, sebanyak 12,407 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang Ops Selamat itu, meningkat 0.1% atau 11 kes berbanding 12,396 pada tempoh sama tahun lalu.

“Kemalangan maut merekodkan peningkatan 0.7% iaitu 140 kes berbanding 139 kes, manakala jumlah kematian yang direkodkan pada kali ini sebanyak 146 kes berbanding 145 kes pada tahun lalu,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, antara punca kes kemalangan maut disebabkan oleh kecuaian iaitu terbabas sendiri sebanyak 44 kes, diikuti memasuki laluan bertentangan (20 kes) dan keletihan/mengantuk (20 kes).

Sementara itu, Acryl Sani berkata, pada Ops Selamat kali ini, polis menerima sebanyak 12,023 laporan balik kampung iaitu 6,856 laporan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol, Hotline 999 (312) dan Borang Balik Kampung (4,855).

“Sebanyak 71,208 rondaan dijalankan ke atas kediaman dan premis ditinggalkan melibatkan rondaan MPV (unit kereta peronda), URB (unit rondaan bermotosikal) dan elemen balai.

“Bagi kes jenayah pecah rumah pula, sebanyak 270 kes dilaporkan berbanding 266 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak empat kes (1.5%),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.