Pembahagian parti bukan punca lewat lantik ketua kampung, kata MB Perak

Pembahagian parti bukan punca lewat lantik ketua kampung, kata MB Perak

Saarani Mohamad berkata, syarat ditetapkan kementerian bagi pelantikan ketua kampung antara punca kelewatan itu, dengan calon perlu bermastautin di kampung terbabit.

Saarani Mohamad berkata, pelantikan ketua kampung di seluruh Perak akan dilakukan secara teliti bagi memastikan calon betul-betul layak dan mematuhi syarat ditetapkan kementerian, bukannya sekadar ‘tangkap muat’.
PETALING JAYA:
Pelantikan ketua kampung di seluruh Perak yang belum selesai sejak Disember lalu bukan disebabkan pembahagian parti dalam kerajaan perpaduan, kata Menteri Besar, Saarani Mohamad.

Katanya, syarat ditetapkan kementerian bagi pelantikan ketua kampung antara punca kelewatan itu, dengan calon perlu bermastautin di kampung terbabit.

“Oleh kerana pelantikan ketua kampung sebelum ini kita hanya ‘tangkap muat’ saja, maka timbullah masalah seperti ketua kampung tidak mematuhi karakter, melepasi had umur, bahkan ada yang mempunyai rekod jenayah.

“Jadi, kali ini kita ‘screen’ (saring), pertama orang itu betul-betul layak dan mematuhi syarat digariskan kementerian,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pelantikan ketua kampung tradisi fasa pertama membabitkan kampung di bawah 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan yang akan selesai 22 Mei ini, sebelum DUN mula bersidang.

Fasa berikut, katanya, membabitkan kampung di semua 26 DUN pembangkang, dengan pemilihan lebih teliti ketua kampung memandangkan calon perlu datang daripada parti pemerintah.

“Perak mempunyai 829 kampung tradisi Melayu, 158 kampung baharu Cina dan tujuh kampung India dengan pelantikan ketua kampung Cina dan India.”

Saarani mengakui timbul sedikit masalah dalam pelantikan ketua kampung terdahulu membabitkan tiga parti kerajaan, iaitu Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS kerana ada parti pemerintah yang tiada wakil di sesebuah kampung.

“Apabila tiga parti ini jadi kerajaan, kita hendak bagi semua parti merasa jadi ketua kampung. Namun, pada waktu itu, ada masalah apabila Bersatu tiada (wakil) di semua kampung.

“Jadi, dia (Bersatu) ambil orang kampung A jadi ketua kampung B, namun orang kampung B pula tak setuju. Jadi, dengan pengajaran itu, kita buat pemilihan ketua kampung tahun ini secara berhati-hati.

“Jadi, bukan ada masalah sangat, cuma saya minta kita buat secara berfasa dan berhemah supaya ketua kampung dan ‘kabinet’ kampung itu dapat berfungsi seperti sepatutnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.