Mukhriz, pemimpin Pejuang Kedah tandatangan Proklamasi Orang Melayu

Mukhriz, pemimpin Pejuang Kedah tandatangan Proklamasi Orang Melayu

Majlis menandatangani proklamasi tersebut disaksikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir bersama pemimpin parti itu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selepas menyatakan sokongan dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu. (Gambar Sekretariat Proklamasi Orang Melayu)
PETALING JAYA:
Majlis pimpinan Pejuang Kedah yang diterajui Presidennya Mukhriz Mahathir menandatangani Proklamasi Orang Melayu di hadapan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu diumumkan Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Khairudin Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Katanya, majlis menandatangani proklamasi tersebut diadakan di Kubang Pasu, Kedah dan dihadiri Mukhriz serta seluruh kepimpinan Pejuang Kedah.

“Tindakan majlis pimpinan Pejuang Kedah menandatangani borang Proklamasi Orang Melayu amat bermakna serta dialu-alukan.

“Ia merupakan satu petanda baik ke arah kami berganding bahu semula demi wadah perjuangan bagi memperkasakan orang Melayu di tanahair kita,” katanya.

Katanya, sekretariat akan memanjangkan jemputan kepada Pejuang untuk menghantar wakil dalam jawatankuasa Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Proklamasi Orang Melayu digerakkan Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.

Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.

Mahathir pada 19 Mac lalu menuduh kerajaan Anwar Ibrahim bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.

Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan tetapi Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.

Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.